NAMA BLOG

Khamis, 27 September 2012

PIDATO UNTUK MURIDKU

NUR HIDAYAH BT MOHD IZHAR (PERTANDINGAN PIDATO ZON LUMUT PANGKOR) 2012
TAHNIAH KERNA MENDAPAT TEMPAT KE-3




Terima kasih sejambak mawar seharum kasturi kepada juragan pembawa acara yang berseri, kombinasi kehakiman yang berintegriti, semestinya saudara penjaga masa yang setia dengan randiknya, rakan seperjuangan yang saya segani, guru-guru dan seterusnya sidang hadirin yang saya hormati sekalian. Assalamualaikum warah matullahiwabarakatuh dan salam satu Malaysia, bumi merdeka.

Guru-guru dan seterusnya sidang hadirin yang saya hormati,

Berdirinya saya di sini, bukanlah untuk membuang masa kalian, tetapi bukan juga untuk menyebarkan input tidak berguna akan tetapi sekadar ingin berkongsi pengetahuan yang berkaitan dengan tajuk pidato saya pada hari ini iaitu “Sayangi Alam Sekitar”

Sebelum lidah mengalun bicara, terlebih dahulu izinkan saya mendefinisikan tajuk pidato yang menjadi tunjang pidato saya pada petang ini.“Sayangi” menurut Kamus Dewan bermaksud mengasihi atau mencintai. Manakala “alam sekitar” pula bermaksud dunia atau bumi. Jadi , berdasarkan maksud yang telah saya kemukakan sebentar tadi dapatlah disimpulkan bahawa setiap kita perlu menyayangi alam sekitar kita.

Warga dewan aspirasi negara,

Indikator saya yang pertama di bawah tajuk “Sayangi Alam Sekitar”.

Mutakhir ini, arus modenisasi menderaskan lagi pembangunan negara. Pelbagai projek sosioekonomi dijalankan dengan begitu rancak namun secara tidak sedar alam sekitar sudah terjejas. Satu kemelut yang terpaksa dihadapi oleh negara kita. Kita sebenarnya tersepit antara keinginan menjadi sebuah negara maju dengan alam sekitar yang perlu dipelihara, bak kata pepatah “ditelan mati mak, diluah mati bapa”. Kehidupan manusia banyak bergantung kepada persekitaranya. Alam sekitar yang bersih dan tidak tercemar akan menjadikan hidup kita lebih selesa dan bahagia. Sebaliknya, jika alam sekitar tempat kediaman kita kotor, maka kita akan menghadapi pelbagai masalah yang tidak menyenangkan hidup ini. Alam sekitar yang kotor akan menyebabkan hidup kita terdedah kepada pelbagai penyakit. Alam sekitar yang tercemar pula akan menyebabkan udara yang kita hirup dan air yang kita minum dipenuhi dengan pelbagai bahan yang boleh membahayakan tubuh kita. Oleh itu,kita harus sentiasa menjaga supaya alam sekitar kita tidak tercemar.

Sidang intelektual yang dihormati sekalian,

Indikator saya yang kedua,

Sekiranya kita membiarkan sampah-sarap tidak dibuang dengan teratur, maka hidupan seperti tikus, lalat, lipas,dan sebagainya akan membiak. Haiwan-haiwan ini boleh mengakibatkan pelbagai jenis penyakit yang membahayakan kesihatan kita. Lalat boleh mengkibatkan kita terkena penyakit taun dan cirit-birit.Tikus pula boleh mengakibatkan demam kancing gigi. Di samping itu, kawasan sekitar yang tidak dibersihkan akan menjadi kawasan tersebut tempat pembiakan nyamuk . Nyamuk adalah punca utama penyakit demam denggi yang telah mengorbankan banyak nyawa di negara kita. Selain daripada itu, alam sekitar yang tercemar pula menyebabkan kehidupan kita tidak selesa. Asap yang dihasilkan oleh asap kenderaan dan kilang-kilang perindustrian menyebabkan udara yang kita sedut telah tercemar. Contohnya,gas-gas beracun, zarah-zarah yang terperangkap hasil daripada asap kenderaan dan jerebu daripada kesan pembakaran secara terbuka dan sebagainya. Ini akan menyebabkan kita terdedah kepada penyakit barah dan sesak nafas . Kesan yang amat dirasai sekarang akibat pencemaran udara ialah pemanasan global yang semakin meningkat dari hari ke hari. Pemanasan global ini telah mengubah cuaca dan sistem iklim dunia.

Warga dewan yang dihormati,

Indikator saya yang ketiga,

Pencemaran air yang diakibatkan oleh pembuangan sisa-sisa kilang, kegiatan penyemburan racun serangga dan rumpai di kawasan perladangan dan tumpahan minyak juga menyebabkan air yang kita minum tercemar. In imengakibatkan sungai-sungai tersebut menjadi busuk, hidupan akuatik dan tumbuhan akuatik pupus serta menjadi punca pembiakan nyamuk yang membahayakan kesihatan penduduk sekitarnya. Sungai-sungai ini juga terkambus dan menjejaskan sumber ikan air tawar. Pencemaran air juga mengakibatkan bekalan air yang kita gunakan boleh menjejaskan kesihatan. Sebagai bukti, seperti yang berlaku di Jepun iaitu Teluk Minamata, Jepun.Pencemaran toksik terdapat dalam air menyebabkan simtom kebas-kebas, sakit kepala, kabur penglihatan dan pertuturan yang tidakbetul. Sesetengahnya berakhir dengan kelumpuhan dan ada yang menemui maut.Simptom ini disebabkan oleh keracunan raksa ini membabitkan beratus-ratus keluarga nelayan. Penyakit ini seterusnya dinamakan penyakit Minamata.

Hadirin yang saya hormati,

Jika diteliti memang benar pencemaran banyak dicetuskan oleh manusia sendiri.Apabila keuntungan yang tergambar di depan mata, nilai-nilai murni tidak lagi menjadi pegangan.Yang menyedihkan semua penduduk dunia akan merasai kesan negatifnya sedangkan yang melakukan kerosakan hanyalah segelintir manusia. Tuntasnya,kita harus bekerjasama dan memainkan peranan ini untuk mengekalkan kebersihan alam sekitar. Kita tidak seharusnya meletakkan masalah ini di atas bahu kerajaan semata-mata. Sewajarnya kita sedar akan bumi ini sahajalah tempat tinggal kita. Sekian sahaja pidato yang dapat saya sampaikan pada hari ini.Saya akhiri pidato ini dengan serangkap pantun. Izinkan saya mengundur diri,Seraya menyusun sepuluh jari,Sehingga kita berjumpa lagi,Salah dan silap harap dimaafi.

Sekian ,terima kasih.