NAMA BLOG

Isnin, 26 November 2012

CONTOH-CONTOH KARANGAN

1. JENIS KARANGAN FAKTA 

Usaha-usaha Menghargai Warga Tua

         Warga tua merupakan golongan yang paling berjasa kepada negara. Mereka telah melalui pelbagai rintangan dan dugaan untuk membesarkan anak-anak.. Namun, pada hari ini warga tua sering diabaikan dan jasa mereka dilupakan oleh masyarakat.

          Keluarga perlu menyayangi warga tua. Warga tua yang terdiri daripada ibu melahirkan kita dan bapa pula mencari rezeki untuk membesarkan kita. Pengorbanan mereka perlu dibalas dengan sebaik-baiknya. Sebagai anak kita perlu menjaga ibu bapa kita ketika mereka tua dan tidak menghantar mereka ke rumah orang-orang tua.

          Di sekolah, guru boleh menasihatkan pelajar agar menghormati warga tua. Warga tua yang terdiri daripada ibu bapa kita perlu disayangi dan dihormati. Anak-anak perlu bertutur dengan sopan apabila berhubung dengan ibu bapa mereka kerana syurga terletak di telapak kaki ibu. Kerajaan juga perlu menghargai warga tua. 
         
         Kerajaan boleh menyediakan pelbagai kemudahan untuk warga tua. Sebagai contoh, warga tua akan mendapat rawatan percuma di hospital kerajaan ataupun kadar bayaran rendah di hospital atau klinik swasta.

           Media massa seperti surat khabar dan televisyen boleh menyiarkan cerita-cerita berkaitan penderitaan hidup warga tua. Hal ini menyedarkan kita tentang pentingnya warga tua dalam hidup kita. Oleh itu, kita tidak boleh mengabaikan warga tua.

        Pihak swasta perlu membantu warga tua. Mereka boleh mengutip derma untuk mengurangkan beban warga tua manakala kunjungan ke rumah orang-orang tua dapatmengeratkan hubungan .Warga tua akan berasa diri mereka dihargai dan disayangi.

       Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu berusaha untuk menghargai jasa dan pengorbanan warga tua. Kita tidak boleh mengabaikan warga tua kerana merekalah yangmelahirkan kita dan membesarkan kita




2.  Contoh Karangan Ucapan


Berikut contoh karangan ucapan sempena Hari Guru.

Salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Guru Besar,Guru Penolong Kanan,guru-guru dan rakan sekalian.Saya sebagai wakil murid,ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Guru kepada semua guru  di sekolah ini.

Hadirin  sekalian,

     Tarikh 16 Mei setiap tahun telah dipilih sebagai Hari Guru. Hari ini merupakan hari  yang amat sesuai untuk kita mengadakan sambutan bagi mengenang dan menghargai jasa guru.Oleh itu marilah kita menghargai jasa guru.
 Rakan-rakan  sekalian,
     Guru ialah insan yang mendidik,mengasuh dan membimbing kita hingga kita dapat mencapai kejayaan.Kesungguhan mereka mendidik kita amatlah besar nilainya dan wajar dikenang sepanjang hayat.Mereka tidak pernah jemu mengajar kita supaya kita dapat mengenal huruf ,membaca dan mengira. 

     Guru juga adalah  ibu bapa kita di sekolah.Oleh itu,kita mestilah menghormati guru.Segala nasihat  guru mestilah kita dengar dan patuhi.Jangan sesekali kita abaikan segala nasihat mereka. 

Rakan sekalian,

    Guru adalah orang yang sering memberi semangat kepada kita untuk rajin belajar.Mereka sedia  mendengar  segala masalah yang kita tidak fahami dalam pelajaran.Oleh itu guru adalah pendidik yang sangat berdedikasi semasa mengajar kita di sekolah.

     Sesungguhnya jasa guru tidak ternilai harganya.Guru ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain.Wahai para guru yang kami sayangi,jutaan terima kasih kami ucapkan kerana tidak pernah jemu mendidik kami dengan sabar . 

 Sekian , terima kasih.


3. JENIS SURAT KIRIMAN RASMI

 Tidak hadir Ke Sekolah

Andaikan bahawa kamu diserang demam panas. Kamu tidak dapat hadir ke sekolah selama tiga hari. Tuliskan sepucuk surat kepada guru kelas kamu untuk memberitahu beliau keadaan kamu.
Kampung Burung Baru,
23000  Dungun,
Terengganu.

_________________________________________________________________________________

Guru Kelas,
Tahun 6 Bestari,
Sekolah Kebangsaan Padang Pulut,
23000, Dungun,
TERENGGANU.                                                                                      20 OKTOBER  2012   
          
Cikgu,
Tidak Dapat Hadir Ke Sekolah
Berhubung perkara di atas, saya Nurul Afiqah Bt. Mohd Noor , murid Tahun 6 Bestari ingin memaklumkan bahawa saya tidak dapat hadir ke sekolah kerana diserang demam panas.  
2.     Saya telah pun mendapatkan rawatan doktor di Pusat Kesihatan Daerah Bukit Besi. Doktor menasihatkan saya supaya berehat selama tiga hari.
3.     Bersama-sama surat ini, saya sertakan surat akuan doktor untuk perhatian dan tindakan cikgu. Saya berharap agar cepat sembuh dan dapat datang semula ke sekolah seperti biasa.   
Sekian ,terima kasih.        


Yang benar,
( NURUL AFIQAH BT MOHD NOOR )



4. JENIS KARANGAN BIOGRAFI

Tun Dr Mahathir Mohamad

         Tun Dr. Mahathir dilahirkan pada hari Jumaat tanggal 20 Disember 1925. Putera kepada pasangan Mohamad bin Iskandar dan Wan Tempawan binti Wan Hanafi ini dilahirkan di rumah bernombor 18, Lorong Kilang Ais, bersebelahan dengan Jalan Pegawai, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.

           Beliau merupakan anak bongsu dari sembilan orang adik-beradik. Dr. Mahathir memulakan alam persekolahan di Sekolah Melayu Seberang Perak pada tahun 1930 selama dua tahun. Beliau melanjutkan pengajian menengah di Goverment English School, Alor Setar yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau tamat dengan keputusan Senior Cambridge yang cemerlang pada tahun 1945.

           Dalam tahun 1947, selepas tamat pengajian peringkat menengah, Dr. Mahathir telah ditawarkan biasiswa Kedah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di King Edward VII  College of Medicine, Singapura. Semasa di Kolej, beliau merupakan seorang pelajar yang tekun dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran, aktif dalam sukan ragbi dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan pelajar-pelajar lain.

           Pada tahun 1953, beliau telah dianugerahkan Ijazah Doktor Perubatan (M.B.B.S) dari University of Malaya. Berbekalkan kelulusan berkenaan, Dr. Mahathir telah memulakan perkhidmatannya dalam kerajaan dengan menjadi doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang. Pada tahun 1954, Dr. Mahathir telah dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Besar Alor Setar bagi memenuhi kontrak biasiswanya. Beliau juga telah memberikan khidmat perubatan di Langkawi, Jitra dan Perlis.

         Perkenalan dengan seorang gadis dari Selangor bernama Siti Hasmah Mohd Ali (kini Tun Dr. Siti Hasmah) yang mengikuti bidang pengajian yang sama di King Edward VII Collage of Medicene berlanjutan sehingga mereka menamatkan pengajian masing-masing. Hubungan erat yang terjalin semasa di Singapura telah diakrabkan lagi setelah kedua-duanya diijabkabulkan sebagai suami isteri pada Ogos 1956. Pasangan bahagia ini telah dikurniakan tujuh orang cahayamata iaitu Marina (kini Datin Paduka Marina), Mirzan, Melinda, Mokhzani (kini Datuk Mohzani), Mukriz ( kini Datuk Mukriz), Maizura dan Mazhar.

       Akhirnya, pada 16 Julai 1981 berikutan perletakan jawatan Perdana Menteri oleh Tun Hussien Onn  atas sebab kesihatan, Dr. Mahathir telah dipilih menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang ke- 4 pada usia 55 tahun.

      Dr. Mahathir digelar "Bapa Pemodenan Malaysia" dan merupakan pemimpin yang paling lama memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, iaitu dari 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003.

         Sepanjang tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir telah membawa Malaysia ke persada kecemerlangan. Malaysia telah melalui pelbagai pembaharuan fizikal, mental dan sosial. Malaysia telah menjadi negara yang disegani dan dihormati di pentas dunia. Malaysia mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dikalangan negara-negara maju dunia. Kejayaan Malaysia sebagai negara membangun dan sebuah negara Islam yang unggul di rantau ini telah diiktiraf dunia. Warisan pusaka yang ditinggalkan oleh Dr. Mahathir dapat kita lihat berada di mana sahaja.



Tiada ulasan: